SEMPORNA: Polis menahan 33 suspek yang dipercayai terlibat
secara langsung dengan pengganas Sulu dan turut disyaki menyalurkan
maklumat keselamatan kepada mereka.
Ketua Polis Daerah Semporna, DSP Mohd Firdaus
Francis Abdullah berkata kesemua suspek yang ditahan di kampung pinggir bakau
di sini merupakan warga asing dan mereka dihantar ke Ibu Pejabat Polis (IPD)
Lahad Datu untuk soal siasat.
"Mereka dihantar ke IPD Lahad Datu untuk soal
siasat kerana ia berkaitan dengan Op Daulat," katanya kepada pemberita di
sini, Ahad.
Beliau berkata operasi yang bermula pada 6.30 pagi
dan berakhir pada 9 pagi memfokuskan pemeriksaan dari rumah ke rumah dan turut
menahan empat suspek wanita.
Katanya, kesemua suspek yang berusia 18 tahun ke
atas itu, disiasat kerana dipercayai mempunyai kaitan dan melindungi pengganas
Sulu.
Tinjauan Bernama ke lokasi operasi mendapati
kira-kira 100 anggota polis dari IPD Semporna, VAT 69 dan Pasukan Gerakan Am
melakukan pemeriksaan ke setiap rumah bagi mencari dan mengesan suspek
pengganas Sulu.
Op Daulat yang dilancar bagi memburu saki-baki
penceroboh bersenjata dari selatan Filipina itu masuk hari keenam hari ini
dengan 53 penceroboh militan dilaporkan ditembak mati.
Sejak pencerobohan militan pada 12 Feb lepas, lapan
anggota polis terkorban iaitu dua maut dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada
1 Mac dan enam lagi dalam serang hendap di Kampung Simunul di sini sehari
kemudian. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan